Monday, March 2, 2009

Perubahan tabii punca nilai tamadun terhakis
Oleh Mohd Zamri Shafie



AZAN Isyak sedang berkumandang, datang seorang remaja untuk minta tandatangan borang bantuan persekolahan Baitulmal, lalu diminta beliau supaya menunaikan solat Isyak terlebih dulu. Remaja itu mengatakan dirinya tidak boleh solat kerana uzur.
Lidah terkedu seketika melihat remaja yang tidak dapat dibezakan jantinanya, lantaran rupa paras, pakaian (kemeja T dan seluar pendek paras lutut) serta bentuk badannya seolah-olah seorang remaja lelaki.
Ditanya kenapa jadi begitu, remaja berusia 13 tahun itu dengan pantas memberitahu itulah gaya pengkid dan ia hanya untuk sementara saja.
Alangkah sedihnya mengenangkan anak berbangsa Melayu, beragama Islam, terjebak dalam 'virus' kian membarah dalam dirinya. Budaya songsang itu kini parah berjangkit, tidak kenal usia walaupun bagi seorang remaja belasan tahun.
Inilah hakikatnya, budaya songsang sudah meresapi jiwa anak muda. Jika ia tidak diberi perhatian khusus, umat ini akan menerjah kembali kisah yang dipapar dalam al-Quran, kaum Nabi Lut yang dibinasakan Allah atas perlakuan songsang mereka.
Ini dirakamkan Allah supaya menjadi pengajaran dan peringatan dalam firman yang bermaksud: "Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Dan tidak ada jawab daripada kaumnya selain daripada berkata: Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang yang (mendakwa) menyucikan diri. Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia daripada orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kesalahan." � (Surah al-A'raaf, ayat 80-84)
Mengubah keadaan diri daripada lelaki kepada perempuan dan sebaliknya adalah dilarang syariat Islam. Dr Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa mengubah keadaan diri sama ada dari segi jantina, tabii semula jadi bertentangan fitrah dan ia adalah amalan syaitan musuh manusia.
Firman Allah yang bermaksud: "Apa yang mereka sembah yang lain dari Allah itu, hanyalah berhala (makhluk yang lemah), dan mereka (dengan yang demikian) tidak menyembah melainkan syaitan yang derhaka; yang dilaknat Allah dan yang mengatakan: Demi sesungguhnya, aku akan mengambil daripada kalangan hamba-Mu, bahagian yang tertentu (untuk menjadi pengikutku); Dan demi sesungguhnya, aku akan menyesatkan mereka (daripada kebenaran) dan demi sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang ternak), lalu mereka membelah telinga binatang itu dan aku akan menyuruh mereka mengubah ciptaan Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin yang ditaati selain dari Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang terang nyata." � (Surah an-Nisa', ayat 117-119)
Allah menjadikan setiap makhluk-Nya berpasangan, lelaki dan perempuan dan Ia menciptakan mereka dengan ciri khusus sesuai dengan peranan dan tugas diamanahkan bagi memakmurkan bumi ini.
Sebagai manusia tidak kira lelaki atau wanita, dipertanggungjawabkan amanah Allah ke atas bahu mereka dan ia tidak boleh dipersia-siakan atau diabaikan. Perubahan terhadap jantina dan tabii manusia akan menyebabkan terhakis dan hilang lenyap nilai tamadun kemanusiaan seluruhnya.
Ia juga sama sekali akan melenyapkan dan mewujudkan pertentangan fitrah, pelanggaran syariat, kehilangan rasa tanggungjawab, kehancuran akhlak dan ketamadunan dibaham kerakusan nafsu yang menguasai diri.
Realiti budaya songsang yang berlaku adalah lingkaran dan belitan nafsu yang sentiasa mengawal perjalanan hidup seorang manusia dibuai keseronokan. Keseronokan bersifat sementara itu dikejar dan dihambat tanpa batasan ditetapkan Allah.
Rasulullah SAW menyatakan kebimbangan kepada umatnya supaya jangan dibuai keseronokan hawa nafsu dan cita-cita kehidupan yang melalaikan. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Daripada Jabir bahawa Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya perkara yang sangat aku bimbangkan terhadap umatku ialah hawa nafsu dan panjang cita-cita, kerana hawa nafsu itu menghalang daripada menerima kebenaran dan panjang cita-cita itu melengahkan amalan akhirat. Dan ingatlah! Dunia ini pada setiap saatnya berjalan pergi, dan akhirat pula pada setiap saatnya berjalan datang, sedang tiap-tiap satunya ada orang yang kasih dan setia kepada dunianya, oleh itu jika kamu dapat menahan diri daripada menjadi orang yang kasih dan setia kepadanya maka buatlah, kerana kamu pada hari ini berada di kampung yang ada padanya peluang untuk kamu beramal dan belum ada sebarang hisab, dan kamu pada hari esok akan berada di kampung akhirat yang ada padanya hisab dan tidak ada peluang bagi segala amalan." � (Hadis riwayat al-Baihaqi)
Orang mukmin di alam dunia ini terikat dengan ikatan taat setia kepada hukum Allah dan kewajipan menjaga diri daripada melakukan apa juga yang dilarang serta kewajipan membendung hawa nafsu.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Dunia ini ialah penjara orang mukmin dan syurga bagi orang kafir." � (Hadis riwayat Ahmad, At-Tirmizi dan Ibn Majah)
Maksud penjara dalam hadis ini bagi mukmin adalah tali yang mengikatnya daripada terjerumus ke lembah kebinasaan dicetus oleh nafsu dan syaitan yang melingkarinya. Memenjarakan nafsu adalah tugas utama yang perlu diberi perhatian sekalipun ia sukar.
Mereka yang berjaya memenjarakan nafsunya akan beroleh kebahagiaan dan kenikmatan kekal abadi di akhirat kelak. Sebaliknya bagi orang kafir, mereka tidak mempunyai ikatan kepada hukum dan pantang larang ditetapkan Allah, bahkan melakukan apa saja mengikut keinginan hawa nafsu.

No comments: